Hendaklah ia menjelaskan segala cacat-cacat barang dagangannya yang terlihat ataupun tersembunyi. Tidak boleh disembunyikan tentang cacat-cacatnya. Itu adalah wajib.

Jika ia menyembunyikan juga kecacatan itu menjadilah seorang penipu atau penganiaya, sedangkan penipuan itu adalah hukumnya haram. Dengan itu juga ia telah tidak mengendahkan kebenaran dalam perkara jual beli sedangkan sifat ini adalah wajib.

Jika seseorang peniaga menunjukkan bahagian yang baik dari baju yang dijualnya sedangkan bahagian yang tidak baik diselindungkan, maka ia telah menjadi seorang penipu. Begitu juga ia mendedahkan pakaian yang diperdagangkan itu di tempat-tempat yang gelap, ataupun menunjukkan pasangan kasut atau sepatu yang baik saja, sedangkan yang tidak baik tidak ditunjukkan, ini termasuk juga sebagai seorang peniaga penipu.

Dalil yang menunjukkan pengharaman penipuan ialah riwayat berikut yang menjelaskan:

Pada suatu hari Rasulullah s.a.w. berjalan ke tempat seorang yang menjual makanan, terasa keinginan baginda kepada makanan itu, lalu dicecahkanlah tangannya pada makanan itu dan didapatinya basah. Maka baginda bertanya: Mengapa basah! Jawab penjual: Kerana terkena hujan. Maka baginda bersabda pula: Mengapa makanan itu tidak engkau letakkan di atas meja supaya dapat dilihat oleh orang. Siapa yang menipu kita (kaum Muslimin), maka dia bukan termasuk golongan kita.

Dalil yang menunjukkan wajib berlaku jujur dengan menyatakan kecacatan pada barang dagangan ialah riwayat dari Rasulullah s.a.w. iaitu:

Apabila Rasulullah s.a.w. selesai menerima bai’at Jarir kerana memeluk Agama Islam, Jarir pun ingin kembali, maka oleh Rasulullah menarik baju Jarir sambil berpesan atasnya supaya berlaku jujur terhadap setiap Muslim. Apabila Jarir mengeluarkan barang dagangannya untuk dijual, ditelitinya terlebih dahulu cacat-cacat barang itu, kemudian disuruh pembeli memilih, katanya: Jika mahu ambillah, jika tidak mahu tinggalkanlah di situ. Ada orang berkata kepada Jarir: Wahai Jarir! Kalau engkau buat macan ini nanti tidak laku semua barang-barang engkau itu. Jarir menjawab: Kami semua telah berbai’at dengan Rasulullah s.a.w. untuk berlaku jujur terhadap setiap Muslim.

Cerita yang lain pula dari Watsilah ibnul-Aqsa’ yang pada suatu hari sedang berdiri di suatu tempat. Pada ketika itu dia melihat seorang menjual unta dengan harga 300 dirham. Watsilah lalai sehingga orang itu telah pergi dari situ bersama unta yang dibelinya.

Kemudian Watsilah mengejar menjerit-jerit si pembeli itu seraya bertanya: Tuan beli unta itu untuk disembelih atau untuk ditunggang? Jawab orang itu: Untuk ditunggang. Berkata Watsilah: Kalau begitu saya patut memberitahu tuan, bahawa di kaki unta itu ada lubang yang saya lihat dengan mata kepala saya sendiri, nanti tentutlah unta itu tidak kuat untuk berjalan terus-menerus.

Maka si pembeli unta itu kembali semula ingin memulangkan unta tersebut kepada si penjual, sehingga penjualnya bersetuju mengurangkan harganya sebanyak 100 dirham lagi.

Penjual itu lalu berkata kepada Watsilah: Moga-moga Tuhan merahmatimu, sebenarnya engkau telah merosakkan penjualanku.

Lalu dijawab oleh Watsilah: Bukankah kita telah berbai’at dengan Rasulullah s.a.w. untuk berlaku jujur terhadap setiap Muslim? Tidakkah engkau pernah mendengar sabda Rasulullah s.a.w:

“Tiada halal bagi seseorang menjual sesuatu barang, melainkan ia menerangkan kacacatannya, dan tiada halal bagi orang yang mengetahuinya, melainkan mesti diterangkan kecacatan itu.”

Difahamkan dari perkataan berlaku jujur itu, ia tiada redha untuk saudaranya, melainkan apa yang ia meredhakan untuk dirinya sendiri. Dan sifat ini juga tiadalah dikira suatu keutamaan ataupun kelebihan martabat, tetapi mereka meyakini bahawa yang demikian itu sebagai syarat-syarat kesempurnaan Islam seseorang yang termasuk ke dalam bai’at (janji kesetiaan)

Advertisements