Ketahuilah bahawasanya setiap penganiayaan yang ditimbulkan oleh seseorang, tiadalah dibolehkan membalas dengan penganiayaan yang sama. Tidak dibolehkan membalas umpat dengan umpat, intip dengan intip, maki dengan maki, dan seterusnya terhadap semua maksiat dibalas dengan maksiat yang sama pula.

Rasulullah s.a.w. telah melarang orang membalas orang yang mengata-nista kepada mu dengan kata-nista juga dalam sabdanya:

“Jika seseorang mengata-nistamu dengan menyebut sesuatu keburukan yang ada pada dirimu, maka janganlah anda membalas dengan menyebut keburukan-keburukan yang ada pada dirinya pula.”

Setengah para ulama membolehkan membalas dengan mengatakan sesuatu yang tidak mengandungi perkara dusta. Mereka berkata: Larangan yang bersabdakan oleh Rasulullah s.a.w. untuk membalas kata-caci orang itu, bukanlah merupakan suatu larangan yang haram atau dosa, hanya yang lebih baik lagi meninggalkannya, tetapi jika ia membalas juga, maka tidaklah terkira berdosa.

Tetapi yang dibolehkan membalas dengan berkata: Siapa engkau ini sampai berkata seperti ini? Ataupun: Wahai orang yang rendah budinya! Ataupun: Wahai manusia bodoh! Kerana setiap orang mestilah ada padanya sifat rendah budi dan sifat bodoh.

Begitu juga, jika dia memanggil dengan berkata: Wahai orang yang buruk akhlaknya! Ataupun: Wahai orang yang mencaci peribadi orang lain! Dan sebenarnya memanglah sifat yang dicacinya itu ada pada orang itu, maka tidaklah ditegah. Ataupun ia berkata: Jika ada sifat malu pada diri anda, tentulah anda tidak berkata seperti itu. Ataupun ia berkata: Alangkah buruknya kelakuanmu pada pandangan mataku!

Para alim ulama membolehkan ucapan-ucapan membalas seumpama itu, berdalilkan sabda Rasulullah s.a.w.:

“Dua orang yang bermaki-makian itu, selagi masing-masing sama kata-mengata, maka dosanya ke atas orang yang memulakan memaki dari keduanya, sehingga orang yang dizalimi (dimaki) itu pula melampaui batas ke atas orang yang memulakan.”

Hadis ini menentukan, bahawa bagi orang yang teraniaya itu boleh membuat pembalasan sekadar yang sama dengan apa yang diperlakukan kepadanya, tetapi hendaklah ia tidak melampaui batas, jika ia melampaui batas, maka ketika itu dialah yang akan menerima dosanya pula.

Itulah kadarnya yang diperbolehkan oleh para alim ulama dalam menuntut pembalasan, yakni suatu keizinan untuk menentang penganiayaan yang ditujukan kepada dirinya, iaitu kadar yang seimbang tanpa melampaui batas.

Berkata Iman Ghazali selanjutnya: Memang sudah jelaslah keizinan membalas itu diperbolehkan dalam kadar yang tersebut di atas, tetapi yang lebih utama meninggalkan saja niat untuk membalas itu, sebab yang demikian akan menariknya kepada suatu akibat yang lebih meruncing sesuatu itu. Bahkan mungkin nanti ia tidak dapat menguasai dirinya lagi untuk menuntut pembalasan dalam kadar hak yang diperbolehkan saja, dan dikhuatiri kelak ia akan melampaui batas. Dengan yang demikian, menahan diri dari membuat pembalasan itu adalah lebih baik dan lebih senang daripada memulakan pembalasan dan berhenti dalam kadar yang diperbolehkan oleh syara’.

Walau bagaimanapun, memanglah ada juga manusia yang tiada berkuasa untuk mengekang hawa nafsu dalam masa marahnya sedang meluap-luap. Tetapi tidak kurang pula ada yang insaf sesudah itu, lalu kembali tenang dan marahnya pun reda.

Dalam sebuah Hadis, Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

“Sebaik-baik anak Adam, ialah orang yang lambat marahnya dan segera pula reda bila sudah marah, dan sejahat-jahat anak Adam yang lekas marahnya dan lambat pula reda marah itu.”

**********

Kembali ke senarai kandungan Kitab Mencela Marah, Dendam Dan Dengki

Atau ke senarai kandungan utama Kitab Bimbingan Mukminin

Bersambung dari keutamaan sifat penyantun, berikut dipetik beberapa contoh sifat penyantun.

Dari Ali bin Abu Talib r.a., katanya: Bukanlah kebaikan itu bila harta kekayaamu bertimbun-timbun dan anak pinakmu bersusun-susun, bahkan kebaikan itu ialah bila ilmu pengetahuanmu bertambah, sifat penyantunmu dikenang orang, dan anda tidak menunjuk-nunjuk kepada orang ramai mengenai ibadatmu kepada Allah, dan bila anda berbuat baik, anda sentiasa bersyukur kepada Allah, tetapi bila anda berbuat jahat, segera anda bertaubat dan meminta ampun kepadaNya.

Aktsam pula berkata: Tonggaknya akal ialah sifat penyantun, dan pokok segala perkara ialah sabar.

Berkata Mu’awiyah: Seseorang manusia tidak akan mencapai puncak pemikiran, melainkan sesudah penyantunannya mengalahkan kebodohannya, dan kesabarannya mengatasi keinginan syahwatnya, dan tidak akan tercapai semua itu, melainkan dengan kekuatan dan pengetahuan.

Bertanya Mu’awiyah kepada Amru Ibnul-Ahtam: Orang yang bagaimanakah yang dikata pemberani? Amru menjawab: Sesiapa yang dapat mengalahkan kebodohannya dengan penyantunannya. Kemudian Mu’awiyah bertanya lagi: Orang yang macam manakah yang dikatakan paling pemurah? Jawabnya: Orang yang membelanjakan kekayaan dunianya untuk maslahat akhiratnya.

Mu’awiyah pernah bertanya kepada Irabah: Dengan cara apakah engkau dapat mengetahui kaummu itu? Jawabnya: Saya sering bersikap penyantun terhadap orang yang bodoh di antara mereka dan memberi setiap permintaan mereka dan berusaha untuk menunaikan segala hajat keperluan mereka. Barangsiapa yang melakukan seperti yang saya lakukan, maka ia pun samalah seperti saya, malah barangsiapa dapat melebihi saya, tentulah ia menjadi lebih utama dari saya. Tetapi jika ia melakukan kurang dari saya, maka saya lebih baik daripadanya.

Ketika memberi keterangan terhadap firman Allah Ta’ala:

“Tolaklah kejahatan itu dengan cara sebaik-baiknya, sehingga orang yang bermusuhan antaramu dengannya akan menjadi seorang kawan yang setia, dan kelakuan seumpama itu tiada dikurniakanNya kepada sesiapa pun, melainkan orang-orang yang bersabar, dan tidak diberikanNya melainkan kepada orang-orang yang bersabar, dan tiada diberikanNya melainkan kepada orang yang mempunyai keberuntungan yang besar.” (Fushshilat: 34-35)

Anas bin Malik berkata: Itulah orang yang bila dicaci-maki oleh saudaranya, lalu ia berkata: Andai kata anda telah berdusta dalam caci-makimu itu, maka mudah-mudahan Allah mengampuni anda. Tetapi jika anda benar dalam ucapanmu itu, maka mudah-mudahan Allah mengampuni saya.

Dari Saiyidina Ali bin al-Hussain radhiallahu-anhuma, pada suatu ketika beliau telah dimaki oleh seorang, maka beliau pun menghadiahkan kepada orang itu sehelai pakaian, dan memberikannya pula sebanyak seribu dirham. Setengah orang yang mendengar cerita itu telah membuat komen, kata mereka: Telah terkumpul pada peribadi Saiyidina Ali bin al-Hussain itu lima sifat yang terpuji, iaitu:

  1. Penyantun
  2. Melenyapkan sakit hati.
  3. Melepaskan orang itu dari sesuatu yang boleh menjauhkannya daripada Allah azzawajalla.
  4. Menyebabkannya merasa kesal terhadap perbuatannya lalu bertaubat.
  5. Mengubah sikapnya yang mencela tadi kepada sikap memuji pula.

Beliau telah membeli kesemua sifat-sifat yang terpuji ini dengan sesuatu yang tidak terpandang dari harta dunia.

**********

Kembali ke senarai kandungan Kitab Mencela Marah, Dendam Dan Dengki

Atau ke senarai kandungan utama Kitab Bimbingan Mukminin

Ketahui bahawasanya sifat penyantun itu adalah lebih utama dari sifat menahan marah, sebab menahan kemarahan itu diumpamakan sebagai perbuatan sementara dari sifat penyantun, yakni memaksa diri untuk bersifat penyantun ketika sedang marah. Sedangkan menahan kemarahan itu tidak perlu, melainkan bagi orang yang sedang berkobar-kobar kemarahannya. Kemudian untuk melenyapkan kemarahan itu, perlu pula kepada perjuangan yang sungguh-sungguh, tetapi apakala perkara seumpama itu telah dijadikan suatu kebiasaan, maka tentulah tidak dikhuatiri lagi bahawa kemarahan itu akan berkobar-kobar lagi, andai kata kemarahan itu berkobar-kobar juga tidaklah menjadi sukar lagi untuk memadamkannya. Itulah yang dikatakan penyantun tabi’i yang telah menjadi sifat yang utama dan terpuji.

Tegasnya penyantun itu adalah tanda-tanda kesempurnaan akal fikiran dan penguasaanya terhadap keinginan hawa nafsu yang dapat mematahkan segala kekuatan dan kegejolakan sifat marah dalam diri, serta menundukkannya menurut pertimbangan akal fikiran. Tetapi pada mulanya mestilah dicuba dengan menyantunkan diri dan menahankan kemarahan secara paksaan, sehingga akhirnya perbuatan itu menjadi suatu kebiasaan.

Dalam sebuah Hadis, Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

 “Hanyasanya ilmu pengetahuan itu didapati dengan belajar, dan sifat penyantun didapati dengan bersopan santun”

Hadis itu menunjukkan kepada kita, bahawasanya untuk melengkapkan diri dengan sifat penyantun itu, mestilah mula-mula dibiasakan diri dengan sifat itu secara paksaan, sebagaimana kalau hendak mendapatkan ilmu pengetahuan pula, mestilah dengan memaksakan diri supaya tekun belajar.

Sabda Rasulullah s.a.w.:

 “Sesungguhnya seseorang Muslim itu akan mencapai darjat orang yang berpuasa (pada siagd hari) dan beribadat (pada malam hari) menerusi sifat penyantun.”

Ketika memberikan komennya terhadap ayat berikut:

“Dan apabila orang-orang bodoh itu berkata kepada mereka, nescaya dijawabnya: Selamat sejahtera.” (al-Furqan: 63)

Al-Hasan berkata: Maksudnya orang-orang itu bersifat penyantun, mereka tidak ingin membalas orang-orang bodoh itu dengan cara yang setimpal, seperti yang diperlakukan kepada diri mereka.

Ketika memberikan komennya terhadap ayat berikut:

“Dan apabila mereka melalui di hadapan orang-orang yang beromong kosong itu, mereka berlalu secara hormat (tidak pedulikan mereka itu)” (al-Furqan: 72)

Mujahid berkata: Maksudnya apabila mereka disakiti dan dianiayai, nescaya mereka memaafkan saja. Ini juga termasuk sifat penyantun.

Bersambung dalam kiriman dengan topik - Beberapa contoh sifat penyantun, insha Allah.

**********

Kembali ke senarai kandungan Kitab Mencela Marah, Dendam Dan Dengki

Atau ke senarai kandungan utama Kitab Bimbingan Mukminin

Allah s.w.t. telah berfirman:

“Bersegeralah bermohon keampunan kepada Tuhan kamu, dan (memohon) syurga yang luasnya meliputi langit dan bumi yang disediakan bagi orang yang bertaqwa; iaitu mereka yang membelanjakan hartanya dalam keadaan senang dan susah, dan mereka yang menahan kemarahan dan memaafkan kesalahan orang, dan Allah amat mencintai orang-orang yang berbuat kebaikan.” (ali-Imran: 133-134)

Ayat tersebut di atas telah membuktikan kepada kita, bahawa orang yang menahan kemarahannya termasuk dalam golongan muttaqin; iaitu orang-orang yang bertaqwa kepada Allah Ta’ala. Tambahan pula, bahawasanya Allah Ta’ala akan memberikan pengampuananNya kepada mereka, lalu menyediakan bagi mereka balasan syurga. Alangkah besar dan hebatnya balasan itu!

Bersabda Rasulullah s.a.w.:

“Barangsiapa menahan kemarahannya, nescaya Allah akan menahan siksaNya terhadap orang itu. Barangsiapa mengemukakan keuzurannya kepada Allah, nescaya Allah akan menerima keuzurannya itu, dan barangsiapa menyimpan lisannya, nescaya Allah akan menutup segala keburukannya.”

Bersabda Rasulullah s.a.w. lagi:

“Orang yang paling gagah di antara kamu, ialah orang yang dapat mengalahkan nafsunya semasa marah. Dan orang yang paling penyantun pula, ialah orang yang memberikan maaf, sedangkan ia berkuasa untuk membalas.”

Sekali peristiwa Khalifah Umar Ibnul-Khattab r.a. telah didatangi oleh seorang dusun yang berwatak kasar, lalu berkata kepadanya: Wahai Umar! Demi Allah, engkau tidak berlaku adil dalam pemerintahanmu dan tidak memberikan secukupnya kepada kami. Mendengar itu, maka menjadi marahlah Khalifah Umar, hingga kemarahan itu ketara pada wajahnya. Tiba-tiba salah seorang para hadirin telah menyampuk dan berkata: Wahai Amirul Mu’minin! Bersabarlah. Tidakkah tuan mendengar firman Allah Ta’ala:

“Ambillah sikap pemaaf dan suruhlah orang berbuat yang baik-baik, dan jangan mengendahkan orang-orang yang bodoh itu.” (al-A’raf:199)

Mendengar peringatan orang itu, Khalifah Umar pun bertenang semula, dan beliau memaafkan si penuduh itu.

**********

Kembali ke senarai kandungan Kitab Mencela Marah, Dendam Dan Dengki

Atau ke senarai kandungan utama Kitab Bimbingan Mukminin

Apa yang dihuraikan pada lembaran-lembaran yang lalu, ialah bagaimana caranya hendak melenyapkan pangkal kemarahan dan menghapuskan sebab-sebabnya, supaya ia tiada terus bergejolak. Tetapi jika ini tiada berjaya, malah sebab-sebab kemarahan itu hidup juga, maka ketika itu hendaklah menetapkan diri supaya orang yang dihinggapi penyakit ini, tiada sampai terpaksa melakukan sesuatu menurut wajah yang tercela. Sayugialah ia menyegerakan pengubatan kemarahannya itu, dalam seketika bernyala-nyalanya, dengan pati dan inti ilmu pengetahuan dan amalan.

Untuk mengubati penyakit marah menerusi ilmu pengetahuan, ada beberapa caranya, iaitu:

Pertama: Hendaklah anda cuba mengingatkan kembali segala anjuran-anjuran yang ditunjuk oleh syariat dalam keutamaan dan kelebihan sifat-sifat menahan marah, pemaaf, penyantun dan menanggung perilaku buruk. Dengan jalan itu jiwa anda akan inginkan pahala yang dijanjikan kerana menolak kemarahan itu, lalu anda akan menentang keinginan diri untuk membalas dendam, maka dengan itu perasaan marah anda akan terhapus dari dalam diri.

Kedua: Hendaklah anda ingat tentang ancaman Allah Ta’ala dan siksaanNya, andaikata diteruskan juga sifat marah anda itu. Anda harus merenung pula, apakah anda boleh terselamat dari kemurkaan Allah Ta’ala pada Hari Kiamat kelak, meskipun ketika itu anda sangat memerlukan kepada pengampunan dan kemaafan Allah Ta’ala.

Ketiga: Hendaklah anda ingat akan akibat permusuhan dan pembalasan dendam lawan anda, kelak sudah barang tentu ia akan berusaha untuk menceroboh kehormatan diri anda. Ia akan cuba menjaja segala keburukan anda. Ia akan merasa suka, bila anda tertimpa sesuatu bencana, sedangkan anda sendiri tentu sekali tidak sunyi dari berbagai-bagai keburukan dan kecelaan diri. Dengan yang demikian, anda akan merasakan keburukan akibat marah itu di dunia, kiranya anda masih tidak mengendahkan akan akibat dosanya di akhirat.

Keempat: Hendaklah anda gambarkan bertapa buruknya rupa anda kelak bila anda marah, iaitu dengan mengingat rupa orang lain ketika dalam dalam kemarahan. Bayangkanlah rupa anda yang buruk ketika itu, dengan rupa sahabat ada yang diumpamakan seperti anjing galak yang hendak menerkam, atau seekor binatang buas yang mengganas. Kemudian bayangkanlah pula seorang penyantun yang bertenang saja, yang tidak suka marah-marah, yang menurut perilaku para Nabi, para wali, para alim ulama dan orang-orang yang bijaksana. Pilihlah antara dua perilaku itu, mana yang lebih sesuai bagimu? Menyerupakan dirimu dengan perilaku anjing-anjing, binatang-binatang buas dan orang-orang yang tercela kelakuannya? Ataupun menyerupakan dengan perilaku para Nabi dan alim ulama dalam adat kebiasaannya, supaya jiwa anda kelak tertarik kepada perjalanan hidup mereka itu, itu pun jika ada lagi padamu sedikit otak yang boleh memikirkan baik buruknya kedua-dua perilaku tadi.

Kelima: Hendaklah anda fikirkan apa sebabnya anda ingin membalas dendam? Dan apa pula sebabnya anda tidak dapat menahan diri dari kemarahan itu? Mungkin juga syaitan membisikkan di telinga anda, bahawa sikap itu akan menunjukkan kelemahan dan kehinaan diri, dan anda akan kelihatan rendah di mata orang ramai. Ketika itu hendakkah anda menjawabnya dengan berkata: Wahai nafsu! Aneh sekali engkau ini. Engkau tak sanggup menahan penghinaan sekarang. Apakah engkau lebih sanggup menahan penghinaan di Hari Kiamat kelak? Apakah engkau tidak bimbang, kelak di sana engkau akan dihina-dinakan di hadapan Allah, para Malaikat dan pada NabiNya?

Apabila anda menahan kemarahan, maka hendaklah anda menahannya semata-mata kerana Allah. Anda menahannya juga kerana ia seperkara yang dipandang berat di sisi Allah. Jangan sampai anda terpengaruh dengan kata-kata orang, ataupun menahan kemarahan itu dengan sesuatu sebab keduniaan

Adapun cara memadamkan api kemarahan menerusi amalan, iaitu hendaklah anda mengucap Ta’awwudz dengan lidahmu begini: A’uudzu billaahi minash-shaithaanir-rajiim (Aku berlindung kepada Allah dari syaitan yang terkutuk). Apabila kemarahan itu muncul ketika anda sedang berdiri, maka hendaklah anda segera duduk: jika sedang duduk, maka hendaklah anda baring. Orang yang sedang dalam kemarahan, sunnat baginya mengambil wudhu’ (air sembahyang) dengan air yang dingin, kerana kemarahan itu berpunca dari api, manakala api itu pula tidak boleh dipadamkan melainkan dengan air.

**********

Kembali ke senarai kandungan Kitab Mencela Marah, Dendam Dan Dengki

Atau ke senarai kandungan utama Kitab Bimbingan Mukminin

Anda telah mengetahui, bahawa ubat segala penyakit mestilah dengan memotong pangkalnya dan melenyapkan sebab-sebabnya. Dengan hal yang demikian, maka anda mestilah mengetahui sebab dan punca timbulnya kemarahan itu terlebih dulu.

Sebab-sebab yang membangkitkan kemarahan itu, ialah meninggi diri, ujub dan bangga, senda gurau, omong kosong, mengejek-ejek, mencela, berbantah-bantah, berlawan-lawan, berkhianat, kemahuan yang tak terbatas pada mencari wang dan menuntut kedudukan; semua sifat-sifat ini merupakan perilaku-perilaku yang tercela di dalam syariat Islam. Seseorang itu tidak mungkin terlepas dari sifat marah, selagi semua sifat-sifat ini masih kekal di dalam dirinya. Maka sayugialah, ia bersungguh-sungguh untuk menghapuskan segala sifat-sifat ini dengan sifat-sifat lawannya.

Hendaklah menyirnakan sifat membesar diri dengan merendah diri, menyirnakan sifat ujub dan bangga diri dengan mengenal diri sendiri, menyimpan sifat memuji diri dengan mengingati diri bahawa ia adalah dari jenis makhluk yang sangat rendah, yang bersatu keturunan dengan bapa yang satu, iaitu Adam a.s. Seterusnya untuk menyirnakan sifat megah diri pula, ialah dengan mengerjakan seberapa banyak kebajikan dan kebaikan dan hendaklah ia menyakini bahawa sifat megah diri atau bangga diri itu, adalah termasuk sifat-sifat yang amat tercela.

Adalah sifat senda gurauan itu, dapat disirnakan dengan menyibukkan diri dengan urusan-urusan agama yang penting, sehingga mengambil masa yang lanjut dari umur, ataupun lebih dari itu. Sifat suka beromong kosong dapat disirnakan dengan melakukan pekerjaan-pekerjaan yang berguna yang mendatangkan feadah, seperti mencari kelebihan-kelebihan hidup, mendidik diri dengan akhlak dan budi pekerti yang terpuji, dan menlengkapkan diri dengan berbagai-bagai ilmu pengetahuan agama yang boleh menyampaikan kepada kebahagiaan akhirat.

Seterusnya untuk menyirnakan sifat mengejek-ejek itu, dengan mengekang diri dari berbuat sesuatu yang boleh menyakiti orang lain, dan memeliharanya dari apa saja yang boleh menyebabkan orang lain mengejek balik. Sifat suka mencela orang lain dapat disirnakan dengan sentiasa menahan diri dari segala kata-kata yang tidak senonoh, dan memeliharanya juga dari menjawab orang lain dengan kata-kata pedas.

Adapun sifat suka mementingkan diri sendiri, dapat disirnakan dengan banyak-banyak sabar ke atas kepahitan hidup, dan selalu bersyukur terhadap apa yang telah ditakdirkan oleh Allah sekadar yang termampu, untuk menjaga kemulian diri dari suka meminta-minta dan mengangkatnya dari kehinaan keperluan yang tidak ada batasnya.

Setiap perilaku dari perilaku-perilaku ini, dan setiap sifat dari sifat-sifat ini, memerlukan pengikisan dan pengubatan melalui jalan latihan dan penanggungan terhadap semua percubaannya. Tujuan menjalankan latihan seumpama ini, ialah untuk mengetahui kebencanaan sifat-sifatnya, agar jiwa merasa tidak senang kepadanya, dan melarikan diri dari segala keburukan sifat-sifat tersebut. Kemudian membiasakan diri bersifat dengan sifat-sifat lawannya setakat jangka masa yang panjang pula, sehingga dengan kebiasaan itu dapat diterapkan kepada jiwa sifat-sifat yanfg baru itu, manakala jiwa pun tidak merasa berat untuk menerimanya setelah sifat-sifat itu menjadi kebiasaannya.

Apabila sifat buruk dan tercela itu telah disirnakan dari jiwa dan dihapuskan sama sekali, maka ketika itu jiwa akan suci murni, bersih dari segala sifat-sifat keji, dan barulah ia akan terselamat dari angkara sifat marah yang mencetuskan segala sifat-sifat yang tidak baik itu.

Sementara itu punca utama yang menimbulkan sifat marah pada golongan orang yang bodoh dan jahil itu, ialah anggapan mereka bahawa sifat marah itu adalah semacam keberanian, ketangkasan dan kemuliaan diri. Sebab itulah, maka jiwa orang-orang ini tertarik kepada sifat marah, dan menganggapnya suatu sifat yang baik, Anggapan ini adalah suatu kebodohan dan kejahilan dalam diri, maka suatu penyakit dalam hati dan kurang pentimbangan dalam akal fikiran.

Untuk mengubati penyakit orang-orang bodoh ini, ialah dengan mendengarkan kepada mereka cerita-cerita para ahli penyantun dan pemaaf, dan menunjukkan kepada mereka bagaimana orang-orang itu memilih cara menahan diri dari marah. Cara beginilah yang merupakan sebaik-baik cara, sebab telah dipraktikkan oleh para Nabi dan para ulama yang terdahulu.

**********

Kembali ke senarai kandungan Kitab Mencela Marah, Dendam Dan Dengki

Atau ke senarai kandungan utama Kitab Bimbingan Mukminin

Ketahuilah selagi manusia tetap bersifat suka dan benci sesuatu, maka ia tidak terlepas dari sifat jengkel dan marah, sebab kedua-dua sifat itu menjadi sebahagian dari tabiat semula jadi manusia. Akan tetapi latihan diri itu perlu juga dijaga untuk menghapuskan keganasan marah itu; iaitu dengan jalan perjuangan dan memaksa diri dengan sifat penyantunan dan penanggungan seketika waktu, sehingga semua sifat-sifat itu menjadi kebiasaan dan kelakuan yang kekal dalam diri.

Dengan latihan-latihan di atas itu saja tidak boleh sama sekali menghapuskan kemarahan hati, kerana yang demikian itu memang tidak mungkin. Tetapi tujuannya ialah untuk memimpinnya ke batas yang dianjurkan oleh syara’ dan dipandang baik oleh akal fikiran. Caranya ialah dengan mematahkan gejolaknya dan melemahkannya, sehingga api kemarahan itu tidak menyala-nyala di dalam batinnya. Perbuatan itu diteruskan sehingga kesan-kesannya tiada lagi kelihatan di wajah.

Adakalanya kemarahan seseorang itu dapat dilenyapkan dengan mengalihkan pemikirannya kepada pentauhidan Zat Allah Ta’ala, ataupun mengingatkan dirinya bahawa Allah s.w.t. menginginkannya supaya ia tidak marah. Mungkin pengaruh cintanya kepada Allah Ta’ala itu dapat menolong memadamkan api kemarahannya, ataupun mengalihkan perhatian hati kepada perkara yang lebih penting daripada kemarahan itu. Ketika itu hatinya tidak ada tempat lagi untuk menyimpan marah, sebab ia telah dikuasi oleh urusan lain yang lebih penting. Apabila hati sedang sibuk dengan perkara-perkara yang penting, tentulah ia akan menyisihkan ke samping perkara-perkara yang kurang penting.

**********

Kembali ke senarai kandungan Kitab Mencela Marah, Dendam Dan Dengki

Atau ke senarai kandungan utama Kitab Bimbingan Mukminin

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 49 other followers