Ketahuilah bahawasanya setiap penganiayaan yang ditimbulkan oleh seseorang, tiadalah dibolehkan membalas dengan penganiayaan yang sama. Tidak dibolehkan membalas umpat dengan umpat, intip dengan intip, maki dengan maki, dan seterusnya terhadap semua maksiat dibalas dengan maksiat yang sama pula.
Rasulullah s.a.w. telah melarang orang membalas orang yang mengata-nista kepada mu dengan kata-nista juga dalam sabdanya:
“Jika seseorang mengata-nistamu dengan menyebut sesuatu keburukan yang ada pada dirimu, maka janganlah anda membalas dengan menyebut keburukan-keburukan yang ada pada dirinya pula.”
Setengah para ulama membolehkan membalas dengan mengatakan sesuatu yang tidak mengandungi perkara dusta. Mereka berkata: Larangan yang bersabdakan oleh Rasulullah s.a.w. untuk membalas kata-caci orang itu, bukanlah merupakan suatu larangan yang haram atau dosa, hanya yang lebih baik lagi meninggalkannya, tetapi jika ia membalas juga, maka tidaklah terkira berdosa.
Tetapi yang dibolehkan membalas dengan berkata: Siapa engkau ini sampai berkata seperti ini? Ataupun: Wahai orang yang rendah budinya! Ataupun: Wahai manusia bodoh! Kerana setiap orang mestilah ada padanya sifat rendah budi dan sifat bodoh.
Begitu juga, jika dia memanggil dengan berkata: Wahai orang yang buruk akhlaknya! Ataupun: Wahai orang yang mencaci peribadi orang lain! Dan sebenarnya memanglah sifat yang dicacinya itu ada pada orang itu, maka tidaklah ditegah. Ataupun ia berkata: Jika ada sifat malu pada diri anda, tentulah anda tidak berkata seperti itu. Ataupun ia berkata: Alangkah buruknya kelakuanmu pada pandangan mataku!
Para alim ulama membolehkan ucapan-ucapan membalas seumpama itu, berdalilkan sabda Rasulullah s.a.w.:
“Dua orang yang bermaki-makian itu, selagi masing-masing sama kata-mengata, maka dosanya ke atas orang yang memulakan memaki dari keduanya, sehingga orang yang dizalimi (dimaki) itu pula melampaui batas ke atas orang yang memulakan.”
Hadis ini menentukan, bahawa bagi orang yang teraniaya itu boleh membuat pembalasan sekadar yang sama dengan apa yang diperlakukan kepadanya, tetapi hendaklah ia tidak melampaui batas, jika ia melampaui batas, maka ketika itu dialah yang akan menerima dosanya pula.
Itulah kadarnya yang diperbolehkan oleh para alim ulama dalam menuntut pembalasan, yakni suatu keizinan untuk menentang penganiayaan yang ditujukan kepada dirinya, iaitu kadar yang seimbang tanpa melampaui batas.
Berkata Iman Ghazali selanjutnya: Memang sudah jelaslah keizinan membalas itu diperbolehkan dalam kadar yang tersebut di atas, tetapi yang lebih utama meninggalkan saja niat untuk membalas itu, sebab yang demikian akan menariknya kepada suatu akibat yang lebih meruncing sesuatu itu. Bahkan mungkin nanti ia tidak dapat menguasai dirinya lagi untuk menuntut pembalasan dalam kadar hak yang diperbolehkan saja, dan dikhuatiri kelak ia akan melampaui batas. Dengan yang demikian, menahan diri dari membuat pembalasan itu adalah lebih baik dan lebih senang daripada memulakan pembalasan dan berhenti dalam kadar yang diperbolehkan oleh syara’.
Walau bagaimanapun, memanglah ada juga manusia yang tiada berkuasa untuk mengekang hawa nafsu dalam masa marahnya sedang meluap-luap. Tetapi tidak kurang pula ada yang insaf sesudah itu, lalu kembali tenang dan marahnya pun reda.
Dalam sebuah Hadis, Rasulullah s.a.w. telah bersabda:
“Sebaik-baik anak Adam, ialah orang yang lambat marahnya dan segera pula reda bila sudah marah, dan sejahat-jahat anak Adam yang lekas marahnya dan lambat pula reda marah itu.”
**********
Kembali ke senarai kandungan Kitab Mencela Marah, Dendam Dan Dengki
Atau ke senarai kandungan utama Kitab Bimbingan Mukminin