akhlak Rasulullah


Rasulullah s.a.w. adalah seorang yang amat lapang dada dan suka memaafkan orang lain meskipun Baginda mampu membalas dendam.

Sekali peristiwa dalam suatu peperangan, seorang dari kaum musyrikin telah melihat kaum Muslimin sedang berehat-rehat, lalu ia pun mendapatkan Rasulullah dan berdiri di kepalanya dengan sebilah pedang, seraya berkata kepada Baginda: Siapakah yang dapat mempertahankan engkau dari pedangku ini?

Rasulullah s.a.w. segera menjawab: Allah. Mendengar perkataan itu, gementarlah tangan orang musyrik itu dan pedang itu pun jatuh dari tangannya.

Maka Rasulullah s.a.w. pun mengambilnya, seraya berkata pula kepadanya: Siapakah kini yang dapat mempertahankan engkau daripadaku pula? Orang Musyrik itu dengan susah payah menjawab: Ambillah nyawaku dengan cara yang baik.

Baginda pula berkata kepadanya: Katakanlah: Asy-hadu Allaa Illaha Illallahu wa Annii Rasulullaahi (Aku menyaksi bahawasanya tiada tuhan melainkan Allah dan aku ini Rasulullah).

Katanya: Tidak. Aku tidak akan mengucapkannya, akan tetapi aku berjanji tidak akan memerangimu lagi, dan tidak akan membantu orang-orang yang memerangimu itu.

Oleh Baginda dibebaskannya orang itu, lalu ia pun mendapati kaumnya seraya berkata: wahai kaumku! Aku telah datang dari seorang yang amat baik sekali di antara manusia sekalian (yang di maksudkannya ialah Nabi Muhammad s.a.w.)

Dalam peristiwa-peristiwa yang lain, banyak sekali berlaku para sahabat meminta izin membunuh orang-orang yang membuat jahat kepada Rasulullah s.a.w. Mereka mengatakan kepadanya: Izinkanlah kami menetak kepalanya wahai Rasulullah! Tetapi Rasulullah s.a.w. tidak bersetuju malah malarang.

Dalam pada itu Baginda tidak pernah menolak alasan-alasan orang yang memberikan keuzuran kepadanya, dan Baginda sering berkata:

Mudah-mudahan Allah merahmati saudaraku Musa, sebenarnya beliau itu telah disakiti lebih dari itu, tetapi beliau bersabar saja.”

Baginda pula berkata:

“Jangan sampai ada seseorang kamu yang menyampaikan sesuatu berita tentang seorang dari para sahabatku, sesungguhnya aku ingin keluar kepadamu sedangkan aku dalam keadaan berlapang dada” 

Baginda Rasulullah s.a.w. memakai apa saja pakaian tanpa memilih, tetapi kebanyakkan dari pakaian yang dipakainya ialah yang berwarna putih. Semua pakaian baginda melabuh hingga ke buku lali, manakala qamisnya sentiasa terkancing butang-butangnya tetapi kadang-kadang terbuka juga.

Baginda mempunyai dua salinan baju khusus untuk sembahyang Juma’at selain pakaian-pakaian yang dipakainya pada hari-hari selain Juma’at. Ada kalanya Baginda memakai selembar pakaian saja, tidak ada padanya selain dari itu, lalu Baginda mengimami orang ramai dengan memakai pakaian itu juga.

Pernah suatu masa dahulu, Baginda mempunyai pakaian serba hitam yang dipakainya, tetapi kemudian diberikannya pada orang.

Baginda memakai cincin. Kadangkala Baginda keluar rumah dan pada cincin itu diikatkan seutas tali, agar tali itu akan mengingatkannya sesuatu yang dilupainya. Dengan cincin itulah, Baginda mengkhatam (memohorkan) semua surat-surat.

Baginda juga memakai kopiah (songkok) di bawah ikatan serbannya kadang-kadang memakai kopiah saja tanpa serban. Kadang-kadang pula Baginda menanggalkan kopiah itu dari kepalanya lalu dijadikannya sebagai batasan tempat sembahyang, kemudian Baginda bersembahyang berhadapan dengannya.

Bila Baginda memakai pakaian, baginda memulakan dari kanan seraya berdoa:

“Segala kepujian bagi Allah yang telah memberikan pakaian untuk menutupi auratku dan untuk aku menghiaskan diri dari muka orang ramai.”

Apabila menanggalkan pakaian, dimulakannya dari kiri dan bila baginda menukar pakaian baru, diberikanlah yang lama itu kepada orang miskin, kemudian dia bersabda:

“Setiap orang Muslim yang memberi pakaian kepada Muslim yang lain kerana Allah, nescaya ia berada dalam jaminan Allah dan pemeliharaanNya semasa hidup mahupun setelah mati.”

Baginda mempunyai tempat tidur yang terbuat dari kulit berisi jerami, dan bersamanya selembar baju ‘abaah yang dijadikan hamparan tidur dibawa ke mana saja perginya.

Selain itu, Baginda juga sering memberi nama kepada binatang tunggangannya, senjatanya dan juga barang-barangnya.

Rasulullah s.a.w. sentiasa memakan apa saja yang disediakan baginya. Apabila hidangan telah tersedia, baginda pun membaca:

Dengan nama Allah, wahai Tuhanku! Jadikanlah makanan ini suatu nikmat yang disyukuri yang akan menyampaikan nikmat ini kepada nikmat syurga.”

Baginda tidak suka memakan makanan yang panas, ujarnya: Sesungguhnya Allah Ta’ala tidak memberi kita makanan dari api, sejukkanlah makanan itu dulu!

Bila makan, Baginda sentiasa makan apa-apa yang ada paling dekatnya. Baginda makan roti gandum, mentimun dengan kurma mengkal. Kebiasaannya makanannya sehari-hari terdiri dari air dan kurma. Makanan yang paling disukai oleh Baginda ialah daging. Baginda suka juga memakan tsarid (roti bercampur suf) dengan daging, dan suka makan buah qara’ (sejenis buah).

Dari daging kambing yang paling digemari oleh Baginda ialah bahagian rusuk dan bahunya, dan yang tiada digemarinya pula ialah buah-pinggang, bahagian kemaluan jantan atau betina, tempat simpan air kencingnya, daging keras yang tumbuh di bawah kulit kerana sakit. Semua ini adalah makruh memakannya.

Baginda tidak makan bawang putih atau bawang besar. Baginda tidak pernah menjijik sesuatu makanan pun, tetapi jika ingin dimakannya, jika tidak ditinggalkannya. Baginda tidak suka daging biawak* dan hempedu tiadalah ia mengharamkannya. Selesai saja dari makan, Baginda akan berdoa:

“Segala pujian bagi Allah. Ya Allah! Ya Tuhanku! BagiMulah segala kepujian, Engkau telah memberiku makan, sehingga aku kenyang. Engkau telah memberiku minum sehingga aku puas. BagiMu segala kepujian. Tiada teringkarMu nikmatMu, tiada tertinggal bahkan sentiasa diperlukan lagi.”

Sebaik-baik saja baginda selesai dari memakan daging, akan dibasuhnya kedua tangannya sebersih-bersihnya. Baginda meminum air dengan tiga kali tegukan dengan meminumnya seteguk demi seteguk, bukan ditelannya sekaligus sehingga habis. Setiap kali ia meneguk air itu setiap itulah ia bernafas, bukan di dalam bekas itu tetapi di luarnya.

Seringkali juga bila Baginda berada seorang diri di rumah, Baginda tidak merasa berat untuk menyediakan makanan yang hendak dimakan atau menghidangkannya untuk dirinya sendiri.

****

* Yang dimaksudkan di sini ialah biawak yang hidup di padang pasir dihukumkan halal memakannya, kerana ia hidup di darat saja. Adapun biawak yang terdapat di negeri kita itu adalah haram memakannya, kerana ia hidup di darat dan di laut atau sungai, harap jangan sampai terkeliru – pent.


Adapun Rasulullah s.a.w seorang yang amat fasih sekali dalam kata-kata dan amat manis sekali dalam tutur bicara. Baginda pernah berucap, ujarnya: Saya adalah orang yang sangat fasih bertutur dalam bahasa Arab.

Kata bicara Baginda sentiasa padat lengkap, tidak panjang, tidak pendek, sehinggat amat mudah bagi orang yang mendengarnya untuk menghafalkan dan menurut arahannya. Bila bercakap, suara Baginda sangat nyaring, indah tekanannya bila didengar. Baginda tidak bicara tanpa perlu. Tiada berkata-kata dalam ketika redha atau marah, kecuali yang hak semata-mata.

Bila mendengar ada orang yang berbicara kurang baik, Baginda akan memalingkan mukanya dari orang itu. Tetapi bila ada sesuatu yang harus disampaikan sedangkan ia benci kepadanya, maka Baginda akan menggunakan kata-kata kiasan atau sindiran.

Bila Baginda berbicara dalam sesuatu majlis semua para hadirin akan mendengar dengan penuh minat. Apabila Baginda selesai dari bicaranya, barulah pada hadirin pula berbicara, seorang demi seorang tanpa bertelingkah antara satu dengan yang lain. Dalam semua perbicaraannya, Baginda sering isikan dengan kata-kata yang hak dan nasihat-nasihat yang berguna.

Baginda seringkali tersenyum dan tertawa di hadapan para sahabatnya. Sering terharu terhadap apa saja yang dibicarakan oleh mereka, malah kadang-kadang Baginda turut sama dalam perbicaraan itu. Ada kalanya Baginda tertawa agak melebar sedikit hingga ternampak gigi-gigi serinya. Manakala para sahabat turut tertawa sama, tetapi tidak lebih dari kuntum senyuman, kerana menuruti jejak langkah Baginda sambil menghormati kedudukannya di dalam majlis.

Apabila turun sesuatu bencana yang menimpa ummat, maka Baginda segera akan menyerahkan perkara itu sepenuhnya kepada Allah dan membersihkan dari dari segala kekuasaan dan kekuatan. Kemudian Baginda memohon turunnya petunjuk dari Allah Ta’ala lalu berdoa:

“Ya Allah! Ya Tuhanku! Dan wahai Tuhannya Jibril, Mikail dan Israfil, Tuhan yang mencipta semua petala langit dan bumi. Maha Mengetahui segala yang ghaib dan yang terang, Engkaulah yang menghukumkan antara sekalian hamba-hambaMu dalam segala perkara yang mereka pertelingkahkan. Berikanlah kepadaku petunjuk yang benar dalam perkara yang dipertelingkahkan itu dengan keizinanMu, sesungguhnya Engkaulah yang memberikan petunjuk kepada siapa yang Engkau kehendaki ke jalan yang lurus.” 

Sebagaimana yang diriwayatkan mengenai perilaku Rasulullah s.a.w., bahawa Baginda tidak pernah sama sekali memukul seorang pun dengan tangannya, melainkan  dipukulnya kerana fisabilillahi Ta’ala. Baginda juga tidak pernah memeram dendam kerana sesuatu yang dilakukan ke atasnya dirinya sendiri, melainkan bila melihat kehormatan Allah dicabuli.

Jika Baginda diminta untuk memilih antara dua perkara, tanpa ragu-ragu lagi Baginda akan memilih yang paling ringan dan mudah antara keduanya, kecuali jika pada perkara itu ada dosa, ataupun akan menyebabkan terputusnya perhubungan silaturrahim, maka Baginda akan menjadi orang yang paling jauh sekali daripadanya.

Tiada pernah seseorang yang datang kepada Nabi s.a.w., baik ia merdeka atau hamba sahaya ataupun amah (hamba sahaya perempuan) mengadukan keperluannya, melainkan Baginda akan memenuhi hajat masing-masing.

Berkata Anas r.a.: Demi Zat yang mengutusnya dengan kebenaran. Ia (Nabi) tiada pernah berkata padaku dalam perkara yang tiada diinginnya, mengapa engkau lakukan itu. Dan apabila isteri-isteri memarahiku atau sesuatu yang aku lakukan, maka ia berkata kepada mereka: Biarkanlah si Anas itu, dan jangan dimarahi, sebenarnya tiap-tiap sesuatu itu berlaku menurut ketentuan dan kadar.

Termasuk akhlaknya yang mulia, ialah memulakan memberi salam kepada sesiapa saja yang ditemuinya. Jika ada orang yang mengasarinya kerana sesuatu keperluan, ia menyabarkannya sehingga orang itu memalingkan muka daripada baginda. Bila berjumpa dengan salah seorang sahabatnya, segera ia akan menghulurkan tangan untuk berjabat tangan. Baginda tidak pernah bangun atau duduk, melainkan lidahnya sentiasa menyebut nama Allah.

Seringkali bila sedang sembahyang, lalu ada tetamu yang datang kerana sesuatu keperluan, maka segeralah ia meringkaskan sembahyangnya untuk menyambut tetamu seraya bertanya kepadanya: Apa hajat anda?

Bila baginda berada di dalam sesuatu majlis antara para sahabatnya tidak pernah dikhususkan satu tempat baginya, melainkan di mana saja Baginda sampai, di situlah ia duduk. Baginda selalu menghormati sesiapa saja yang mendatanginya, sehingga terkadang-kadang Baginda sampai menghamparkan bajunya supaya orang itu duduk di atasnya. Sering pula Baginda memberikan bantal sandaran kepada orang yang datang, supaya orang itu bersandar padanya.

Bila di dalam suatu majlis yang ramai, Baginda menghadapkan wajahnya kepada semua orang, satu lepas satu, sehingga seolah-olah kesemua majlisnya, pendengarannya, percakapannya, kehalusan budi pekertinya dan perhatiannya ditumpukan kepada setiap orang yang duduk bersamanya di dalam majlis itu. Padahal majlis Rasulullah s.a.w. itu umumnya ialah majlis yang diliputi oleh kesopanan kerendahan diri dan amanah.

Allah telah berfirman di dalam al-Quran al-Karim:

“Oleh kerana rahmat Tuhan engkau bersikap lemah lembut terhadap mereka, dan kiranya engkau berbudi kasar dan berhati bengis, nescaya mereka akan lari dari sekelilingmu.” (Ali-Imran: 159)

Baginda lebih suka memanggil para sahabatnya dengan nama gelaran masing-masing untuk menghormati mereka akan memikat hati mereka. Sesiapa yang tidak punya nama gelaran, Baginda memberinya nama gelaran, lalu ia pun dipanggil dengan gelaran itu. Bukan kaum lelaki saja yang diberi nama gelaran malah kaum wanita juga, sama ada pernah melahirkan anak mahupun yang tidak. Bahkan kepada anak-anak kecil pun demikian juga, sehingga hati anak-anak itu tertarik kepada peribadinya s.a.w.

Baginda Rasulullah s.a.w. adalah seorang yang amat jarang marahnya, tetapi jika marah paling segera redha pula. Baginda adalah orang yang berhati belas terhadap orang ramai, paling baik antara mereka sekalian, dan paling banyak memberikan manfaat kepada seluruh manusia. Tidak pernah sekalipun terdengar suara yang tinggi dalam semua majlis-majlisnya.

Apabila bangun dari majlisnya, Baginda sering membaca :

Maha Suci engkau wahai Tuhanku dengan segala kepujian bagiMu, aku menyaksikan bahawasanya tiada tuhan melainkan Engkau, aku memohon keampunan kepadaMu dan aku bertaubat kepadaMu.” 

Rasulullah s.a.w. itu adalah manusia yang amat toleran, amat berani, amat adil dan amat bersopan-santun sekali. Tangannya tidak pernah sama sekali menyentuh tangan wanita ajnabiah (asing) yang bukan miliknya sebagai hamba sahaya atau yang mempunyai hubungan pernikahan dengannya ataupun yang bukan mahramnya.

Baginda amat murah hati orangnya. Tidak pernah Baginda tidur selagi ada dalam tangan Baginda sedinar ataupun sedirham. Bila ada kelebihan wang dalam tangannya dan tiada pula sesiapa yang hendak diberikannya sehingga malam tiba, maka Baginda tidak akan kembali ke rumahnya, melainkan sesudah Baginda menemui orang yang berhajat untuk diberikan wang yang lebih itu kepada orang tersebut.

Baginda tiada mengambil rezeki yang dikurniakan oleh Allah Ta’ala lebih dari keperluan makan-minum untuk setahun saja. Selebih dari rezeki-rezeki itu Baginda letakkan untuk fisabilillah. Tidak pernah dimintai sesuatu darinya, melainkan Baginda memberinya.

Apabila habis, Baginda akan mengambil pula dari simpanan makanan keluarganya sendiri lalu memberikan kepada orang yang berhajat, sehingga seringkali belum sempat selesai akhir tahun, makanan itu akan kehabisan, lalu Baginda terpaksa meminjam pula dari orang lain untuk mencukupi keperluannya sendiri.

Bagindalah sendiri yang menjahit kasutnya bila putus dan menampal bajunya bila koyak. Baginda suka membantu ahli rumah dalam pekerjaan rumahtangganya.

Baginda amat pemalu orangnya tidak pernah menatap wajah orang lama-lama. Baginda menyahut undangan orang yang merdeka dan hamba sahaya. Baginda menerima hadiah tidak kira pun apa pun, walaupun hanya seteguk air susu, dan sering membalas hadiah itu dan memakannya. Tetapi baginda tidak memakannya dari pemberian sedekah. Baginda tidak pernah merasa dirinya rendah bila memenuhi keperluan hamba sahaya wanita ataupun seorang miskin.

Baginda amat marah sekali jika hak Allah dicabul, tetapi tidak marah pula, jika haknya sendiri dilanggar.

Pada suatu kali, seorang sahabatnya terbunuh di kawasan perkampungan Yahudi, Baginda tidak membalas dendam terhadap kaum Yahudi, tetapi Baginda menghukum menurut yang hak; iaitu mendenda mereka membayar fidyah sebanyak 100 ekor unta betina tidak lebih dari itu. Padahal para sahabat ketika itu, sangat berhajat kepada tambahan sekalipun seekor lagi untuk dijadikan makanan bagi menguatkan diri mereka.

Baginda sentiasa mengikat batu di perutnya untuk menahan lapar. Bila makan tidak pernah cerewet, tetapi makan apa yang disediakan saja dan tidak pernah menolak.

Kiranya makanan yang dihidangkan itu hanya buah tamar tanpa roti, baginda makan juga. Kiranya yang dihidangkan itu daging panggang, makan juga. Ataupun jika roti gandum atau roti syair, makan juga. Ataupun manisan saja atau madu, makan juga. Ataupun susu semata-mata tanpa roti, minum juga. Jika diberikan semangka ataupun kurma mengkal, makan juga.

Tidak pernah bersandar di waktu makan ataupun memasang meja untuk meletakkan makanan. Tidak pernah kenyang dari roti gandum selama tiga hari berturut-turut, sehingga wafat menemui Allah Ta’ala. Ini semuanya dilakukan semata-mata kerana mementingkan diri orang lain dari diri sendiri bukan kerana fakir atau kikir.

Adapun peribadi Rasulullah s.a.w. itu seorang yang amat tawadhu’ (merendah diri) amat pendiam bukan sombong, amat fasih dalam tutur kata tanpa banyak bicara amat sempurna dan elok paras rupanya. Tidak pernah menganggap penting sesuatu pun dari urusan keduniaan.

Cincinnya terbuat dari perak, yang dipakainya di jari kelingking kanan dan kiri. Baginda mengenderai keledai dan membenarkan di belakang keledai itu dibuncingi oleh hamba sahayanya ataupun orang lain.

Selalu melawat pesakit-pesakit meskipun rumahnya jauh dipinggir kota, suka kepada yang baik, sering duduk bersama-sama fakir-miskin, memberi makan kepada orang miskin. Baginda menghormati orang-orang yang terutama, sentiasa memuliakan orang-orang yang dimuliakan dengan berbakti kepada mereka.

Baginda Rasulullah s.a.w. sentiasa berhubung dengan kaum kerabatnya, tidak pernah mengecewakan sesiapapun, selalu menerima alasan orang yang memberikan keuzuran, suka bergurau-senda, tetapi tidak berkata melainkan yang hak saja, tertawanya setakat senyum saja tanpa mengilai.

Baginda tidak pernah mengingkari permainan-permainan yang mubah (harus) yang dibolehkan oleh agama, pernah berlumba lari dengan isterinya. Ada kalanya setengah-setengah orang tidak bertimbang rasa mengangkat suara di hadapan Baginda, tetapi Baginda tetap bersabar saja.

Tidak pernah makanan atau pakaian Baginda lebih baik dari makanan dan pakaian hamba sahayanya. Tidak pernah berlalu suatu masa pun tanpa membuat sesuatu pekerjaan yang diredhai Allah, ataupun pekerjaan lain yang perlu untuk membetulkan diri sendiri.

Baginda selalu bersiar-siar di kebun-kebun sahabat-sahabatnya. Tidak pernah menghina-hinakan orang miskin kerana kemiskinannya. Tidak gentar kepada raja kerana kekuasaan atau kerajaannya. Baginda menyeru yang rendah dan yang tinggi kepada Allah Ta’ala dengan seruan yang sama.

Allah Ta’ala telah melengkapkan peribadi Rasulullah s.a.w. dengan kelakuan yang tinggi dan siasah yang sempurna, padahal Baginda itu seorang yang ummi, tidak pandai membaca atau menulis. Baginda dibesarkan di negeri yang masih dibelenggu oleh kejahilan dan dikelilingi oleh padang pasir, hidup dalam keadaan miskin dan sebagai penggembala kambing, seorang anak yatim tiada berayah dan tiada beribu. Tetapi Allah Ta’ala telah mendidik baginda dengan  sifat budi pekerti yang luhur dan perjalanan yang terpuji.

Diceritakan kapada Baginda berita-berita orang yang terdahulu dan yang akan datang untuk diambil pelajaran daripadanya. Dijadikan sempadan bagi keselamatan dan kemenangan di Hari Akhirat serta tauladan bagi kebahagiaan dan jalan keluar di dalam dunia.

Moga-moga Allah mengurniakan petunjuk kepada kami untuk menurut segala perintah Rasulullah s.a.w. dan mencontohi segala tauladan dalam perbuatan dan perilakunya, Amin Ya Rabbal Alamin.

Dan orang pertama yang dimaksudkan bagi pendidikan dan pengajaran ini, ialah diri Rasulullah s.a.w. Kemudian dari itulah barulah cahayanya menyinari sekalian makhluk yang lain. Sesungguhnya baginda Rasulullah s.a.w. telah mendapat pendidikan yang sempurna dari al-Quran, lalu baginda mendidik ummatnya pula dengan al-Quran juga.

Sebab itulah Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

“Aku telah diutus semata-mata untuk menyempurnakan budi pekerti yang mulia.”

Selanjutnya Rasulullah s.a.w. telah mengajak sekalian makhluk supaya melengkapi diri masing-masing dengan akhlak yang mulia, Apabila Allah Ta’ala telah menyempurnakan budi perkerti baginda lalu Allah memujinya dengan firmanNya yang berbunyi:

“Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad), di atas budi pekerti yang amat luhur.” (al-Qalam: 4)

Kemudian baginda pun menyatakan kepada sekalian makhluk di bumi, bahawasanya Allah amat mencintai akhlak dan budi pekerti yang mulia seraya membenci akhlak dan kelakuan yang jahat.

Berkata Saiyidina Ali r.a.: Aku merasa amat hairan, bila seorang Muslim didatangi saudaranya Muslim yang lain dengan suatu keperluan, malangnya ia tiada menganggap dirinya layak untuk membuat kebajikan. Apakah ia tiada mengharapkan pahala, ataupun tiada takut kepada balasan? Sepatutnya ia akan menyegerakan dirinya kepada budi pekerti yang mulia, kerana yang demikian itu akan menunjukkan dia ke jalan yang selamat.

Dalam sebuah Hadis pula:

Sesungguhnya Allah menghiasi Islam dengan budi pekerti yang mulia dan perbuatan yang terpuji.”

Dalam kontek Hadis tersebut ialah: Bergaul dengan baik memperlakukan secara terhormat dan sopan-santun, membuat baik, memberi makanan dan minuman, memberi salam, melawat pesakit, mengiringi jenazah, berbaik-baik dengan semua jiran, tidak kira Muslim atau kafir, menghormati orang yang lebih tua, menerima undangan dan mendoakan bagi si pengundang, memaafkan orang memperdamaikan antara orang ramai, murah hati dan sedia memberi, berlapang dada, menahan marah, meninggalkan segala larangan agama, menjauhi caci-maki, tidak bohong, tidak kikir dan bakhil, tidak menghampakan, tidak menipu atau memperdayakan orang, tidak mengumpat, tidak mengadu domba, tidak memutuskan tali silaturrahim, tidak berakhlak jahat, tidak sombong, tidak bermegah diri, tidak meninggi diri, tidak banyak bicara, tidak bercakap kotor, tidak melakukan keji-kejian, tidak menyumpah-seranah, tidak dengki atau hasad, tidak memuji diri, tidak membuat curang, tidak melanggar batas dan tidak menganiayai.

Berkata anas r.a: Tidak ada suatu nasihat yang baik yang dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w melainkan baginda telah menyeru kita sekalian untuk bersifat dengannya dan memerintahkan kita melengkapi diri kita dengannya. Sebaliknya tidak ada suatu penipuan atau kecelaan yang dilarang oleh baginda, melainkan baginda telah mengingatkan kita, dan menyuruh kita menjauhi diri daripadanya.

Dan memadailah bagi kita ayat yang berikut ini, sebab ia telah mencakup semua sifat-sifat mulia yang perlu kita bersifat dengannya; iaitu firman Allah Ta’ala:

“Sesungguhnya Allah memerintah agar berlaku adil, berbuat baik dan memberi keluarga yang terdekat dan Dia melarang berbuat kekejian (zina), kemungkaran dan kedurhakaan. Allah menasihati kamu moga-moga kamu sekalian ingat”. (an-Nahl: 90)

Berkata Mu’az pula: Rasulullah s.a.w. telah berwasiat kepadaku, katanya: Wahai Mu’az! Aku mewasiatkan engkau dengan bertaqwa kepada Allah, dan berbicara benar, menepati janji, menunaikan amanat, menjauhi khianat, memelihara tetangga, berbelas kasihan terhadap anak yatim, berlunak dalam kata bicara, memberi salam, bagus dalam pekerjaan, sedikit berangan-angan, menetapi keimanan, mendalami al-Quran, mencintai akhirat, gentar akan hari penghisaban dan merendah diri.

Aku melarang engkau memaki orang yang bijaksana, mendustakan orang yang benar, menuruti orang yang berdosa, mendurhakai Imam (Pemerintah) yang adil dan merosakkan tanah.

Aku mewasiatkan lagi agar engkau sentiasa takut kepada Allah pada setiap batu, pohon dan tanah. Dan hendaklah engkau bertaubat pada setiap dosa yang engkau lakukan. Yang rahsia secara rahsia, dan yang terang secara terang-terangan.

Demikianlah contohnya baginda Rasulullah s.a.w. mendidik umatnya serta menyeru mereka supaya bersifat dengan budi pekerti yang luhur dan akhlak yang mulia.

Seringkali Rasulullah s.a.w. bersikap merendah diri memperkecilkan kedudukannya, sentiasa memohon kepada Allah s.w.t. agar Dia, yakni Allah, memperhiaskan dirinya dengan tata-sopan yang mulia dan budi pekerti yang luhur. Baginda sering menyebut dalam doanya:

“Ya Allah! Ya Tuhanku! Elokkanlah kejadianku dan budi pekertiku!”

Dalam doa yang lain pula, baginda mengucapkan:

“Ya Allah! Ya Tuhanku! Jauhkanlah diriku dari budi pekerti yang terkeji.”

Allah Ta’ala telah mengabulkan doanya, kerana menepati janjiNya dalam ayat berikut:

“Mohonlah kepadaKu, nescaya pasti aku mengabulkan.” (al-Mukmin: 60)

Lalu Allah Ta’ala menurunkan ke atas Junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. al-Quran dan mendidiknya sesuai dengan akhlak al-Quran, sehingga baginda menerima kepujian yang amat tinggi dengan dikatakan, bahawa budi pekerti baginda itu adalah al-Quran.

Sebenarnya al-Quran telah mendidik baginda supaya bersifat pemaaf suka mengajak orang ke jalan kebaikan serta tiada menendahkan kata-kata yang bodoh, seperti firman Allah yang berbunyi:

“Berikanlah kemaafan dan suruhlah dengan kebaikan serta pedulikanlah orang-orang yang bodoh itu.” (al-A’raf: 199)

Al’Quran juga mendidik baginda supaya melaksanakan keadilan, melakukan kebaikan kepada orang ramai, ingat kepada kaum kerabat melarang melakukan segala macam kemungkaran dan kekejian seperti firman Allah Ta’ala yang berikut:

“Sesungguhnya Allah memerintah agar berlaku adil, berbuat baik dan memberi keluarga yang terdekat dan Dia melarang berbuat kekejian (zina) kemungkaran dan kedurhakaan.” (an-Nahal: 90)

Al-Quran juga mendidik baginda supaya sentiasa bersabar dalam segala hal, sebagaimana firmanNya:

“Dan bersabarlah terhadap apa yang menimpamu, sesungguhnya yang demikian itu termasuk perintah-perintah yang sungguh-sungguh.” (Luqman: 17)

Al-Quran juga mendidik baginda supaya bersifat pemaaf dan memberi kelonggaran, sebagaimana firmanNya:

“Maka maafkanlah mereka dan berikanlah kelonggaran, sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berbuat baik.” (al-Maidah: 13)

Al-Quran juga mendidik baginda supaya kejahatan itu ditolak dengan kebaikan, sebagaimana firmanNya:

“Tolaklah kejahatan itu dengan cara yang paling baik, sehingga kiranya ada permusuhan di antaramu dengannya menjadi seolah-olah kawan yang setia.” (as-sajdah: 34)

Al-Quran juga mendidik baginda supaya menahan marah dan memaafkan orang lain, sepertimana ayat yang berikut pula:

“Dan mereka yang menahan kemarahan serta memaafkan orang-orang lain.” (ali-Imran : 134)

Al-Quran juga mendidik baginda supaya meninggalkan semua sangkaan-sangkaan buruk, tidak mengintip-intip atau mengeji orang lain, sebagaimana firman Allah yang berikut:

“Jauhilah banyak-banyak prasangka, kerana setengah dari prasangka itu dosa. Dan janganlah kamu mengintip-intip dan jangan seseorang kamu mencaci seorang yang lain.” (al-Hujurat: 12)

Demikianlah pengajaran al-Quran terhadap peribadi Rasulullah s.a.w dan pengajaran-pengajaran seumpama ini sangat banyak terdapat di dalam al-Quran.

Seterusnya kita lihat Rasulullah s.a.w. mendidik umatnya serta menyeru mereka supaya bersifat dengan budi pekerti yang luhur dan akhlak yang mulia dalam posting berikut.

Bab-bab dalam Kitab Adab Kenabian Dan Akhlak Muhammadiah ialah (klik untuk baca seterusnya):

« Previous Page