Tiadalah patut seseorang peniaga melebihkan urusan keduniaannya, sehingga ia terlalai pula dari urusan keakhiratannya. Kalau demikian sikapnya, tentulah seluruh umurnya akan menjadi sia-sia belaka dan perniagaannya menjadi rugi.

Apa yang terlepas dari keuntungan mengenai urusan akhirat, tidak dapat digantikan dengan keuntungan yang diperolehi di dunia. Dengan itu jadilah ia sebagai seorang pembeli kehidupan dunia dengan kehidupan akhirat.

Orang yang waras fikirannya harus merasa diri sendiri, ialah dengan secara mengawas modalnya manakala modal yang dimaksudkan di sini ialah agamanya dan amalannya dalam menjalankan perintah dan tegahan Allah s.w.t.

Seseorang yang ingin menyandarkan simpati terhadap agamanya tidak akan dapat berbuat demikian, melainkan dengan perkara perkara yang berikut:

1. Bersih niatnya dari sejak ia memulakan perniagaanya; iaitu hendaklah ia berniat menjalankan perniagaan itu, supaya ia terhindar dari meminta-minta dari orang ramai, dan menjauhi perasaan tamak dalam diri dengan menginginkan hak orang lain.

Hendaklah ia memadai dengan apa yang diperolehinya sebagai rezeki yang halal, juga dengan maksud supaya segala keuntungan yang diperolehi itu dapat menolong dirinya dalam menjalankan urusan-urusan keagamaan, serta mencukupi makan-minum anak isteri di rumah agar ia tergolong orang-orang yang berjihad dalam lapangan mencari rezeki yang halal.

Dalam perniagaan itu, hendaklah ia berniat jujur terhadap sekalian kaum Muslimin, dan hendaklah ia mencintai semua makhluk Allah, sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri.

Hendaklah ia berniat juga untuk memilih jalan keadilan dan jalan kebaikan dalam semua perkara jual belinya, sebagaimana yang telah kita sebutkan sebelum ini.

Kemudian hendaklah ia berniat untuk menyuruh yang baik dan melarang jahat terhadap apa saja yang dilihatnya berlaku di dalam pasar kelak.

Semua perkara-perkara ini, jika diniatkan di dalam hati, nescaya ia menjadi seorang yang berusaha pada jalan menuju akhirat.

Dalam urusan perniagaannya kelak, jika ia mendapat keuntungan dari harta kekayaan, maka itu adalah kurnia dan tambahan dari Allah azzawajalla, tetapi jika ia rugi di dunia, nescaya ia akan beruntung pula di akhirat justeru niat-niatnya yang baik tadi.

2. Sebaik-baiknya ia berniat membuat sesuatu perusahaan atau perniagaan sebagai menunaikan suatu fardhu dari Fardhu Kifayah. Sebab jika perusahaan dan perniagaan itu diabaikan saja, tentulah akan menjadi tempang perjalanan kehidupan masyarakat dan akan leburlah keharmonian orang ramai. Untuk menjamin perjalanan kehidupan sekalian manusia, mestilah dengan adanya kerjasama dari manusia itu sendiri, sehingga setiap golongan manusia menjamin golongan yang lain dengan berbagai-bagai inisiatif.

Di antara perusahaan-perusahaan ada yang amat penting bagi kehidupan masyarakat, dan ada pula yang tidak begitu penting lantaran perusahaan itu hanya mementingkan kemewahan dan perhiasan keduniaan semata-mata. Dalam memilih perusahaan-perusahaan ini, hendaklah ia memilih perusahaan yang diperlukan untuk kemajuan masyarakat, supaya dengan menjalankan kerja-kerjanya ia dapat memenuhi keperluan-keperluan kaum Muslimin dan mencukupi kehendak-kehendak agama.

3. Jangan sampai terpengaruh sangat dengan keadaan pasaraan dunia, sehingga ia terpedaya dengannya, lalu meninggalkan sama sekali pasaran untuk akhiratnya. Yang dikatakan pasaran-pasaran untuk akhirat itu ialah amalan-amalan yang dilakukan di dalam masjid-masjid.

Allah telah berfirman:

“Orang-orang yang tiada dilalaikan oleh perniagaan dan penjual beliannya daripada berzikir kepada Allah dan mendirikan sembahyang dan mengeluarkan zakat.” (an-Nur: 37)

Para Salaf Saleh sentiasa berlumba-lumba pergi ke masjid, bila mendengar azan seraya meninggalkan pasaran dan perniagaan mereka diuruskan oleh orang-orang ahli zimmah dan anak-anak kecil.

4. Janganlah hendaknya ia memadai dengan kerja-kerja yang tersebut saja, malah hendaklah ia melazimkan diri dengan berzikir kepada Allah di dalam pasar di antara orang-orang yang sifatnya sentiasa dalam kelalaian, kerana berbuat serupa itu adalah paling utama sekali.

5. Hendaklah ia tiada terlalu mengambil berat terhadap pasaran semata-mata, begitu pula dengan perniagaan saja: iaitu menjadi orang yang pertama sekali masuk ke dalam pasar dan orang yang terakhir kembali daripadanya.

6. Janganlah hendaknya ia hanya menjauhkan diri dari perkara-perkara yang sudah terang haramnya semata-mata, malah mestilah ia memelihara diri dari perkara-perkara yang syubhat juga; iaitu perkara-perkara yang masih diragukan tentang hukumnya.

Cara menjauhi perkara ini dengan menanya diri sendiri secara jujur, jika ia merasa kurang senang hendaklah ia meninggalkannya.

Jika orang membawa suatu barang kepadanya yang ia merasa syak kepadanya, hendaklah ia bertanya mengenainya terlebih dulu. Hendaklah ia menjauhkan dirinya dari berjual beli dengan barang-barang yang berasal dari penganiayaan atau pengkhianatan atau pencurian atau riba’. Semua barang-barang itu, jangan diperniagakan.

7. Hendaklah ia menjaga perjalanan perniagaannya dengan setiap pelanggan, sebab ia akan ditanya dan bertanggungjawab atas tiap-tiap sesuatu. Oleh itu hendaklah ia menyediakan diri untuk menjawab tanggungjawab itu kelak di Hari Perhisaban (Hari Kiamat).

Terdapat enam tingkatan keihsanan bagi orang-orang yang berjual-beli:

  1. Pengelabuan mata (helah) dalam perjualbelian
  2. Menanggung kerugian
  3. Membayar dan melunas hutang dengan ihsan
  4. Cara membayar hutang
  5. Persetujuan kurang harga
  6. Berurusan dengan fakir miskin

1. Pengelabuan mata (helah) dalam berjualbeli

Hendaklah ia tidak mengelabui mata rakannya dalam berjual beli terhadap barang-barang yang biasanya tidak boleh dilakukan pengelabuan. Adapun pengelabuan itu pada asalnya memanglah dibolehkan dalam melakukan jual beli, kerana tujuan utama dari berjual beli itu ialah untuk mendapatkan keuntungan dan ia tidak akan berhasil melainkan dengan taktik dan pengelabuan yang tertentu.

Meskipun begitu maka hendaklah bahagian keuntungan itu jangan terlalu jauh. Sesiapa yang cukup dengan sedikit keuntungan akan larislah perniagaannya dengan baik, dan dari keuntungan-keuntungan yang sedikit itu, lama-lama menjadi bukit. Itulah yang dikatakan perniagaan yang diiringi dengan keberkatan.

2. Menanggung kerugian

Seseorang pembeli yang membeli makanan dari seorang yang lemah ekonominya, ataupun membeli sesuatu barang dari seorang yang miskin, sebaiknya ia menanggung sedikit kerugian dari mereka itu dan cuba mengambil jalan mudah. Dengan itu dia akan menjadi seorang yang berbuat baik, dan termasuk ke dalam sabda Nabi s.a.w.:

“Allah merahmati orang yang mudah jualannya dan orang yang mudah pembeliannya.”

Adapun menanggung kerugian dari seorang kaya, maka itu bukanlah sifat yang terpuji, malah itu adalah mensia-siakan harta tanpa mendapat apa-apa pahala atau kepujian.

Kebanyakan para salaf sentiasa berjimat-cermat bila membeli sesuatu barang. Meskipun begitu keadaannya, tetapi mereka sentiasa memberikan orang ramai banyak dari harta kekayaannya.

Ada yang bertanya mengapa sikap tuan-tuan macam itu? Mereka menjawab: Sesungguhnya orang yang memberi itu, memberikan dari kelebihannya, manakala orang yang mengelabui mata (membuat helah) dalam berjual beli itu, dia mengacau fikiran.

3. Membayar dan melunas hutang dengan ihsan

Dalam menunaikan harga atau nilai barang, serta membayar semua hutang dengan cara berihsan, kadang-kadang dengan memaafkan hutang itu sekaligus, atau menggugurkan sebahagiannya.

Kadang-kadang dengan memberi tempoh, atau menangguhkannya ke masa yang panjang. Dan kadang-kadang dengan mempermudahkan, sehingga terdapat mata wang yang sah. Semua itu hukumnya harus dan amat digalakkan sekali.

Dalam sebuah sabda Rasulullah s.a.w.:

“Sesiapa yang meminjamkan satu dinar kepada seseorang pada sesuatu masa yang tertentu, maka baginya setiap hari sedekah sehingga sampai tempohnya. Apabila cukup tempohnya, lalu diperpanjangkan lagi tempohnya, maka baginya setiap sehari sedekah seperti banyaknya hutang itu.”

Rasulullah s.a.w. pernah memerhatikan seseorang menagih hutang kepada yang lain, lalu baginda mengisyaratkan supaya dia memaafkan separuh dari hutang itu. Penagih hutang bersetuju, lalu baginda berkata kepada yang berhutang: Ayuh, bayar segera!

4. Cara membayar hutang

Sayugialah hendaknya dibayar hutang itu dengan secara baik, iaitu orang yang berhutang itu sendiri pergi mendapatkan orang yang menghutangkan dan jangan sampai ia menyusahkan orang yang mempunyai hak itu datang menuntutnya Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

“Sebaik-baik kamu ialah orang yang baik cara menunaikan hutangnya”.

Orang yang berhutang, bila mendapat kelapangan, hendaklah segera menyelesaikan hutangnya, walaupun tempohnya belum sampai lagi.

Jika telah sampai waktunya, sedangkan ia tidak mempunyai wang untuk membayar, hendaklah ia berniat di dalam hati, bahawa ia akan membayar hutangnya itu bila mampu.

Jika orang yang mempunyai hak menuntutnya dengan kata-kata yang kasar atau sebagainya, hendaklah ia bersabar dan menahan marah. Malah sebaliknya, hendaklah ia menjawab dengan lemah lembut dan nada suara yang rendah, iaitu mengikut perilaku Rasulullah s.a.w. sewaktu baginda dituntut oleh orang yang menagih hutang daripadanya dengan cara yang kasar; lalu setengah para sahabat mahu bertindak terhadap orang itu, maka Rasulullah menahan mereka sambil menyeru: Biarkanlah ia dengan sikapnya, kerana orang yang mempunyai hak itu ada jalan untuk berkata apa saja.

Dari cara berihsan atau berbuat baik juga, hendaklah ia bersifat belas kasihan terhadap orang yang berhutang yang tidak mampu untuk membayar hutangnya, bila menjatuhkan hukuman ke atasnya.

5. Pengurangan harga

Hendaklah ia bersetuju mengurangkan harga, bila pembeli meminta pengurangan: iaitu setelah selesai akad jual beli, sebab ia tidak mungkin meminta pengurangan harga, melainkan ia telah merasa menyesal di dalam hati, ataupun setelah terasa sesuatu mudharat tertimpa atas dirinya kerana jual beli itu.

Maka tidak semestinya si penjual merasa senang hati, sebab kemudaratan saudaranya itu berpunca dari dirinya. Dalam sebuah sabda:

“Sesiapa yang mengurangkan harga pembelian seseorang yang merasa menyesal atas jual belinya, nescaya Allah akan mengurangkan kesalahannya di Hari Kiamat”

6. Berurusan dengan fakir miskin

Hendaklah ia menguruskan jual belinya terhadap kaum fakir miskin dengan segala kelonggaran yang boleh. Dalam pada itu, ia berniat di dalam hati tidak akan menuntut jika mereka dalam kesusahan.

Para salaf Saleh biasanya berkata kepada si fakir: Ambillah apa yang engkau hajati, bila ada kelapangan barulah bayar. Kalau tidak, maka anggaplah ia sebagi halal dan sedekah. Begitulah caranya para salaf mengurus perniagaannya.

Kesimpulannya perniagaan itu ialah puncak ujian seseorang. Di sinilah dapat di uji agama seseorang dan kawara’annya.

Allah s.w.t. telah memerintahkan kita supaya berlaku adil dan berbuat baik pada setiap sesuatu. Keadilan itu adalah sebab keselamatan saja, dan ia pula diumpamakan di dalam perniagaan sebagai saluran keselamatan modal. Manakala ihsan atau berbuat baik sebagai sebab kemenangan dan penerimaan kebahagiaan, dan ia pula diumpamakan di dalam perniagaan sebagai saluran keuntungan.

Tiadalah dikira seseorang itu berakal sempurna, selagi ia merasa puas dengan urusan-urusan keduniaan dengan setakat modal yang ada padanya saja. Begitu pula halnya dengan urusan-urusan keakhiratan juga.

Tiada sepatutnya seseorang yang beragama itu merasa puas dengan melakukan keadilan semata-mata serta menjauhi penganiayaan, sedangkan pintu-pintu keihsanan atau berbuat baik ditinggalkan begitu saja.

Allah telah berfirman:

“Dan berbuat baiklah, seperti Tuhan berbuat baik kepadamu.” (al-Qashas: 77)

Berfirman Allah lagi:

“Sesungguhnya Allah menyuruh berbuat keadilan dan keihsanan.” (an-Nahl: 90)

Allah berfirman:

“Sesungguhnya rahmat Allah itu paling hampir kepada orang-orang yang berbuat baik” (al-A’raf: 56)

Ketahuilah seseorang yang berjual beli itu akan mencapai tingkatan keihsanan itu, dengan salah satu enam perkara yang berikut:

  1. Pengelabuan mata (helah) dalam perjualbelian
  2. Menanggung kerugian
  3. Membayar dan melunas hutang dengan ihsan
  4. Cara membayar hutang
  5. Persetujuan kurang harga
  6. Berurusan dengan fakir miskin

Ulasan lanjut berhubung keihsanan dalam mu’amalah akan disiarkan dalam posting seterusnya.

Perkara ketiga [yang pertama di sini, yang kedua di sini dan yang ketiga di sini] berhubung mu’amalah yang mudaratnya menyentuh orang perseorangan ialah tidak menyembunyikan cacat dalam sukatan atau timbangan.

Hendaklah berkata benar pada menyatakan harga setiap waktunya dan jangan sekali-kali merahsiakannya. Rasulullah s.a.w. melarang keras untuk menghadangkan kafilah perdagangan yang sedang dalam perjalanannya dan melarang juga dari suka menaikkan harga barang-barang.

Adapun menghadang kafilah perniagaan itu ialah untuk menyambutnya di luar kota, lalu memborong semua barang-barang dagangan mereka dengan memberikan harga yang tidak betul dari harga dalam negeri.

Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Jangan kamu menghadang kafilah-kafilah perdagangan. Akan tetapi jika ada orang yang menghadanginya, maka terserahlah kepada tuan punya barang dagangan itu, kepada siapa yang ia ingin menjual barang-barang dagangannya: iaitu sesudah sampai terlebih dulu di pasar.

Dilarang juga seorang kota menjual bagi pihak orang Badwi, iaitu apabila seorang Badwi datang ke kota membawa barang-barang dagangannya yang hendak dijual dengan segera. Tetapi datang pula seorang kota berkata kepadanya: Tinggalkanlah barang-barang itu kepadaku supaya aku menaikkan harganya dan kita menunggu sampai harganya naik dulu.

Dilarang juga meninggikan harga, iaitu apakala seorang datang kepada penjual barang yang sedang ditawarkan kepada seorang pembeli lalu dia pula sengaja meninggikan harganya, sedangkan maksudnya bukan hendak membeli, tetapi untuk menaikkan semangat si pembeli supaya lekas menawar dan membeli barang-barang itu.

Semua larangan ini menunjukkan, bahawasanya tidak dibolehkan seseorang itu mengelirukan terhadap penjual dan pembeli dalam perkara harga sehari-hari yang kiranya mereka mengetahui barang kali mereka tiada berani membuat perjanjian jual beli.

Melakukan yang demikian itu adalah sebagai penipuan yang haram yang bertentangan dengan kejujuran yang wajib ada dalam perkara jual beli. Yang lain pula, tidak bolehlah dia mengambil kesempatan atau menunggu kelalaian tuan punya barang dagangan itu lalu menyembunyikan pula tentang kenaikan harga dari si penjual ataupun turunnya harga kepada si pembeli.

Jika melakukan juga, nescaya ia menjadi seorang yang zalim, yang membelakangi keadilan dan kejujuran bagi kaum Muslimin. Dan apakah ia menjual dengan untung atau dengan modal saja seperti katanya: Sebenarnya saya menjual ini dengan harga modal, maka hendaklah is berkata benar. Sesudah itu hendaklah ia memberitahu segala kecacatan atau kekurangan yang ada pada barang yang dijual itu sesudah dijalankan akad jual belinya.

Perkara ketiga [yang pertama di sini dan yang kedua di sini] berhubung mu’amalah yang mudaratnya menyentuh orang perseorangan ialah tidak menyembunyikan cacat dalam sukatan atau timbangan.

Janganlah menyembunyikan cacat dalam sukatan atau timbangan. Maka sayugia membetulkan timbangannya dengan menambah sedikit supaya terkeluar dari kekeliruan. Hendaknya bagaimana ia menerima sukatan dari orang lain, begitu pula ia menyukat kepada mereka.

Allah telah berfirman:

“Neraka Wail bagi orang-orang yang mengurangi timbangan. Apabila mereka menyukat untuk dirinya diminta dicukupkan dan apabila mereka menyukat untuk orang lain atau menimbang lalu dikurangkannya.” (al-Mutaffifin: 1-3)

Dia tidak akan terselamat dari perkara yang terlarang ini, melainkan jika ia melebihkan sedikit jika ia menyukat atau menimbang untuk dirinya sendiri. Sebab sukar sekali hendak digambarkan keadilan yang sebenarnya.

Dari itu sebaik-baiknya ia melahirkan keadilan itu dengan menambah atau mengurangi sedikit, sebagai mana yang tersebut di atas kerana orang yang mengambil haknya secukup-cukupnya akan hampir melampaui hak orang lain.

Setengah orang berkata: Saya tidak ingin membeli Neraka Wail daripada Allah dengan sebutir (yakni dengan penipuan melebihi sebutir saja).

Orang yang mencampurkan makanan dengan tanah atau sebagainya kemudian menyukatnya, maka ia tergolong orang-orang yang mengurangi sukatan. Penjual daging yang menimbang daging bercampur seumpama itu, tergolong orang-orang yang mengurangi timbangan juga.

Keadaan seperti ini boleh dikiaskan pada segala barang dagangan yang lain; seperti pengukuran yang biasa digunakan oleh penjual kain. Ketika ia mengukur untuk membeli dikendurkan kain itu ke bawah sedikit, tetapi bila ia mengukur untuk menjual ditarik kain itu sampai tegang. Semua ini dilakukan supaya terdapat perbedaan di dalam ukurannya itu.

Peniaga-peniaga yang mengamalkan cara begini tentu tidak akan terselamat, dan tergolong orang-orang yang mengurangi pengukuran yang bakal menariknya ke dalam Neraka wail.

Meskipun menjelaskan segala cacat-cacat barang dagangannya yang terlihat ataupun tersembunyi itu terasa agak sedikit berat bagi jiwa tetapi ianya akan segera menjadi mudah atas seseorang manusia apabila ia mempercayai dua perkara yang akan disebut. Yang pertamanya telah disebut (di sini) dan yang keduanya ialah:

Hendaklah ia mengi’tikadkan sebenar-benar i’tikad supaya sifat kejujuran itu menjadi lebih sempurna dan mudah dilakukan, bahawasanya keuntungan di akhirat dan kekayaan di sana itu lebih utama dari keuntungan dan kekayaan di dunia, dan bahawasanya kemanfaatan harta benda keduniaan itu akan habis bila berakhir umur seseorang dalam kehidupan dunianya, manakala penganiayaan dan dosanya akan tetap berkekalan.

Jadi, bagaimana seseorang yang waras fikirannya sanggup menukarkan sesuatu yang nilainya rendah dengan yang nilainya tinggi dan baik. Bukankah kebaikan itu terletak pada keselamatan agama?

Dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w. berkata:

“Seseorang itu belum beriman dengan al-Quran selagi ia menghalalkan apa-apa yang diharamkan olehnya.”

Oleh itu barangsiapa yang mengetahui, bahawa semua perkara yang tersebut itu akan mencacatkan keimanannya, sedangkan ia yakin pula, bahawa hanya keimanan sajalah yang boleh menjadi jaminan dalam perniagaan keakhiratannya, tentulah ia tidak akan mensia-siakan jaminan yang disediakan bagi suatu umur yang tiada akhirnya, justeru keuntungan yang dapat diambil manfaatnya untuk beberapa hari saja.

Setengah para tabi’in berkata: Andaikata saya masuk ke Masjid Jami’ sedangkan orang telah ramai di dalamnya, kemudian saya ditanya: Siapakah yang paling baik dan siapa yang paling jahat, nescaya saya akan berkata: Sebaik-baik mereka itu ialah orang yang paling jujur dalam perkara berjual-beli, dan sejahat-jahat mereka itu ialah orang yang menipu dalam berjual belinya.

Ketahuilah, bahawa melakukan penipuan dalam berjual-beli dan perusahaan adalah haram hukumnya. Oleh itu seseorang pengusaha tidak boleh menganggap ringan saja terhadap perusahaannya, sebab kalau orang lain melakukan serupa itu terhadap dirinya, tentulah ia tiada akan redha.

Hendaklah ia memperbaiki perusahaannya dan meneliti kerja-kerjanya. Kemudian hendaklah ia menerangkan kecacatannya, jika memang ada cacat. Dengan cara begini akan terlepaslah ia dari tanggungjawab:

Seorang tukang kasut bertanya kepada Ibnu Salim: Bagaimana caranya supaya saya terselamat dalam perkara menjual kasut? Ibnu Salim menjawab: Buatkanlah muka kasut itu sama rata, jangan sampai yang kanan lebih tinggi dari yang kiri. Perbaiki lapisannya sehingga yang satu salin tidak tumpah pada yang lain, jadikan jahitannya sama antara satu dengan yang lain, dan jangan meletakkan yang satu atas yang lain ketika menjualnya.

Imam Ahmad bin Hanbal r.a. ketika ditanya tentang penampalan baju sehingga tidak ketara koyaknya, beliau berkata: Tidak boleh menampalnya, jika ia tahu tuan punya baju itu bila menjualnya nanti ia tidak akan memberitahu pembelinya akan cacat baju tersebut. Boleh menampal serupa itu, jika tukang penampalnya yakin bahawa si penjual akan memaklumkan tentang kecacatan barang dagangannya ataupun bukan untuk dijual lagi.

Jika ada orang berkata, bahawasanya perkara jual beli itu akan menjadi terlalu sukar jika diwajibkan ke atas peniagaan untuk menyatakan kecacatannya. Maka saya menjawab tentangan itu dengan berhujah:

Keadaannya tidaklah sedemikian sukar sekali. Tetapi jika peniaga mensyaratkan atas dirinya, bahawa ia tiada akan membeli barang-barang dagangan untuk dijual semula, melainkan yang baik-baik belaka, yang ia redha untuk kegunaan dirinya sendiri kalaulah ia yang menjadi pembelinya. Dengan cara begini tentulah tidak akan berlaku pengeliruan atau penipuan.

Barangsiapa sikapnya seperti ini tentu tidak akan membeli barang-barang dagangan melainkan yang baik-baik saja. Meskipun memang jarang-jarang sekali terdapat dalam barang-barang dagangannya itu yang ada cacatnya, maka hendaklah ia menunjukkannya juga kepada pembeli, kemudian menjualnya dengan seberapa yang dapat saja.

Ibnu Sirin menjual kambing kepada seorang, lalu dia berkata kepada pembeli kambing itu: Ia selalu membolakbalikkan makanan dengan dengan kakinya.

Demikian caranya perjalanan orang-orang ahli agama yang teguh imannya kepada Allah.

Meskipun menjelaskan segala cacat-cacat barang dagangannya yang terlihat ataupun tersembunyi itu terasa agak sedikit berat bagi jiwa tetapi ianya akan segera menjadi mudah atas seseorang manusia apabila ia mempercayai dua perkara yang akan disebut. Yang pertamanya ialah:

Dia harus meyakinkan dalam dirinya bahawa pengeliruan terhadap kecacatan sesuatu barang itu, dan melariskannya secara tipu daya tidak akan menambah rezekinya, malah akan memusnahkan dan menghapuskan segala keberkatannya. Mungkin sekali Allah akan memusnahkan semua harta benda yang dikumpulkannya dari perbuatan yang mengelirukan itu sekaligus.

Ada suatu cerita: Seorang yang mempunyai seekor lembu betina, dia sering memerah susu lembu itu lalu dicampurkan dengan air, kemudian baru dijualnya di pasar. Pada suatu hari Allah mentakdirkan datang air bah lalu menenggelamkan lembu itu. Maka berkata anak-anak orang itu: Sebenarnya air bah itu ialah air-air yang kita campurkan hari-hari dengan susu, ia telah berkumpul menjadi satu kini, lalu mengambil lembu itu dari tangan kita.

Alangkah benarnya hujah anak-anak orang itu? Mengapa tidak? Bukankah ada sebuah Hadis yang berkata:

“Dua orang yang berjual beli itu, bila mereka berkata benar dan berlaku jujur nescaya akan diberkatilah pada kedua jual belinya. Tetapi jika keduanya menyembunyikan sesuatu atau berbohong, nescaya akan tercabutlah keberkatan dari jual beli keduanya.”

Hadis yang lain pula:

“Tangan Tuhan bersama-sama kedua orang yang berkongsi selagi mereka tiada khianat-mengkhianati. Jika mereka khianat-mengkhianati akan terangkatlah tangan Allah itu daripada mereka”

Tegasnya di sini ialah harta benda tidak akan bertambah jika berlaku pengkhianatan, sebagaimana ianya tiada akan berkurang kerana dikeluarkan sedekah.

… bersambung dengan perkara kedua.

Hendaklah ia menjelaskan segala cacat-cacat barang dagangannya yang terlihat ataupun tersembunyi. Tidak boleh disembunyikan tentang cacat-cacatnya. Itu adalah wajib.

Jika ia menyembunyikan juga kecacatan itu menjadilah seorang penipu atau penganiaya, sedangkan penipuan itu adalah hukumnya haram. Dengan itu juga ia telah tidak mengendahkan kebenaran dalam perkara jual beli sedangkan sifat ini adalah wajib.

Jika seseorang peniaga menunjukkan bahagian yang baik dari baju yang dijualnya sedangkan bahagian yang tidak baik diselindungkan, maka ia telah menjadi seorang penipu. Begitu juga ia mendedahkan pakaian yang diperdagangkan itu di tempat-tempat yang gelap, ataupun menunjukkan pasangan kasut atau sepatu yang baik saja, sedangkan yang tidak baik tidak ditunjukkan, ini termasuk juga sebagai seorang peniaga penipu.

Dalil yang menunjukkan pengharaman penipuan ialah riwayat berikut yang menjelaskan:

Pada suatu hari Rasulullah s.a.w. berjalan ke tempat seorang yang menjual makanan, terasa keinginan baginda kepada makanan itu, lalu dicecahkanlah tangannya pada makanan itu dan didapatinya basah. Maka baginda bertanya: Mengapa basah! Jawab penjual: Kerana terkena hujan. Maka baginda bersabda pula: Mengapa makanan itu tidak engkau letakkan di atas meja supaya dapat dilihat oleh orang. Siapa yang menipu kita (kaum Muslimin), maka dia bukan termasuk golongan kita.

Dalil yang menunjukkan wajib berlaku jujur dengan menyatakan kecacatan pada barang dagangan ialah riwayat dari Rasulullah s.a.w. iaitu:

Apabila Rasulullah s.a.w. selesai menerima bai’at Jarir kerana memeluk Agama Islam, Jarir pun ingin kembali, maka oleh Rasulullah menarik baju Jarir sambil berpesan atasnya supaya berlaku jujur terhadap setiap Muslim. Apabila Jarir mengeluarkan barang dagangannya untuk dijual, ditelitinya terlebih dahulu cacat-cacat barang itu, kemudian disuruh pembeli memilih, katanya: Jika mahu ambillah, jika tidak mahu tinggalkanlah di situ. Ada orang berkata kepada Jarir: Wahai Jarir! Kalau engkau buat macan ini nanti tidak laku semua barang-barang engkau itu. Jarir menjawab: Kami semua telah berbai’at dengan Rasulullah s.a.w. untuk berlaku jujur terhadap setiap Muslim.

Cerita yang lain pula dari Watsilah ibnul-Aqsa’ yang pada suatu hari sedang berdiri di suatu tempat. Pada ketika itu dia melihat seorang menjual unta dengan harga 300 dirham. Watsilah lalai sehingga orang itu telah pergi dari situ bersama unta yang dibelinya.

Kemudian Watsilah mengejar menjerit-jerit si pembeli itu seraya bertanya: Tuan beli unta itu untuk disembelih atau untuk ditunggang? Jawab orang itu: Untuk ditunggang. Berkata Watsilah: Kalau begitu saya patut memberitahu tuan, bahawa di kaki unta itu ada lubang yang saya lihat dengan mata kepala saya sendiri, nanti tentutlah unta itu tidak kuat untuk berjalan terus-menerus.

Maka si pembeli unta itu kembali semula ingin memulangkan unta tersebut kepada si penjual, sehingga penjualnya bersetuju mengurangkan harganya sebanyak 100 dirham lagi.

Penjual itu lalu berkata kepada Watsilah: Moga-moga Tuhan merahmatimu, sebenarnya engkau telah merosakkan penjualanku.

Lalu dijawab oleh Watsilah: Bukankah kita telah berbai’at dengan Rasulullah s.a.w. untuk berlaku jujur terhadap setiap Muslim? Tidakkah engkau pernah mendengar sabda Rasulullah s.a.w:

“Tiada halal bagi seseorang menjual sesuatu barang, melainkan ia menerangkan kacacatannya, dan tiada halal bagi orang yang mengetahuinya, melainkan mesti diterangkan kecacatan itu.”

Difahamkan dari perkataan berlaku jujur itu, ia tiada redha untuk saudaranya, melainkan apa yang ia meredhakan untuk dirinya sendiri. Dan sifat ini juga tiadalah dikira suatu keutamaan ataupun kelebihan martabat, tetapi mereka meyakini bahawa yang demikian itu sebagai syarat-syarat kesempurnaan Islam seseorang yang termasuk ke dalam bai’at (janji kesetiaan)

Janganlah hendaknya ia terlalu memuji-muji atas barang dagangannya secara cakap-cakap kosong, kerana yang demikian itu adalah suatu kebohongan. Kiranya si pembeli terpengaruh dengan kata-kata puji itu lalu membelinya, maka itu adalah suatu pengeliruan dan penganiayaan.

Jika si pembeli menolak maka ternyatalah kerana adanya sikap kebohongan itu, dan jatuhlah maruahnya di hadapan si pembeli tadi.

Kalau hendak memuji barang dagangan itu, biarlah yang benar dan betul-betul, tanpa berlebih-lebihan atau melampaui batas.

Janganlah sekali-kali bersumpah kerananya, sebab jika sumpahnya itu palsu maka ia telah membuat sumpah bohong, dan sifat ini termasuk perkara-perkara dosa besar.

Jika ia bersumpah benar, maka ia telah menjadikan nama Allah sebagi bahan permainan dalam sumpah itu, dan ini termasuk sifat keji pula. Sebab urusan keduniaan itu lebih rendah daripada seseorang berniat untuk melariskan barang dagangannya dengan bersumpah dengan nama Allah, tanpa perlu bersumpah.

Dalam Hadis tersebut:

“Neraka Wail bagi peniaga yang bersumpah: Demi Allah, Wallahi, tidak demi Allah, dan Neraka Wail juga bagi pekerja yang suka memungkiri janji: esok atau lusa.”

Sabda Rasulullah yang lain:

“Sumpah bohong untuk melariskan barang dagangan akan melenyapkan keberkatan dalam perusahaan.”

Segala yang boleh mendatangkan kerugian kepada orang lain adalah penganiayaan. Maka keadilan itu ialah kita tidak menimpakan kerugian ke atas saudara yang Muslim. Sebagai pedoman yang harus dijaga ialah:

Hendaklah ia tiada menyukai bagi saudaranya melainkan apa yang disukai bagi dirinya.

Oleh itu segala perlakuan yang mungkin menyukarkan dirinya sendiri atau memberatkan hatinya, maka janganlah dilakukannya terhadap saudaranya yang Muslim. Yang wajar biarlah dipandang wangnya sama dengan wang saudaranya. Ini sebagai kesimpulannya.

Terdapat empat perkara berhubung mu’amalah yang mudaratnya menyentuh orang perseorangan, iaitu:

(1) Janganlah hendaknya ia terlalu memuji-muji atas barang dagangannya secara omong kosong, kerana yang demikian itu adalah suatu kebohongan.

(2) Hendaklah ia menjelaskan segala cacat-cacat barang dagangannya yang terlihat ataupun tersembunyi.

(3) Janganlah menyembunyikan cacat dalam sukatan atau timbangan, iaitu membetulkan timbangannya dengan menambah sedikit supaya terkeluar dari kekeliruan.

(4) Hendaklah berkata benar pada menyatakan harga setiap waktunya dan jangan sekali-kali merahsiakannya.

 

Ulasan lanjut berhubung keempat-empat mu’amalah yang mudaratnya menyentuh orang ramai tersebut akan disiarkan dalam posting seterusnya.